|
Pada penulisan yang lepas di bawah tajuk ‘Pra Syarat Kejayaan Harakah Islamiyah', saya telah menulis secara ringkas mengenai kandungan buku tersebut dan pada kali ini, insya Allah akan dihurai dengan lebih lanjut mengikut bab. 1) KELAYAKAN PERIBADI GOLONGAN YANG TERLIBAT DI DALAM KEGIATAN SESEBUAH RANCANGAN HARAKAH ISLAMIYAH:
Kelayakan peribadi yang pertama ialah kefahaman Islam yang sebenar yakni menyeluruh. Ini bermaksud seseorang itu perlu mempunyai kefahaman dan ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai Islam supaya mereka lebih jelas mengenai apakah yang bakal mereka perjuangkan dalam harakah ini. Dalam usaha untuk memperoleh pengetahuan ini juga ia bergantung kepada kebolehan diri seseorang dan perlu diingat tidak semestinya orang yang berjuang di jalan ini adalah pakar dalam ilmu Islam. Tetapi apa yang perlu adalah suatu kelayakan tertentu yang setidak-tidaknya membolehkan mereka untuk membezakan di antara ‘aqidah Islamiyah dengan ciri-ciri Jahiliyah dan juga di antara amalan-amalan Islam dengan yang bukan Islam. Ini amat penting supaya individu tersebut memahami kepentingan Islam sebagai panduan dalam seluruh aspek kehidupan dan juga dapat membantu keberkesanan dalam melakukan gerak kerja. Selain itu, kemantapan dari segi ilmu juga perlu bagi menangkis pandangan-pandangan dan hujah-hujah yang sengaja dilahirkan oleh golongan Orientalis dan juga musuh-musuh Islam bagi mengelirukan masyarakat khususnya yang beragama Islam supaya mereka tidak yakin dengan Islam itu sendiri
Di samping ilmu dan kefahaman, keimanan yang teguh terhadap Aqidah juga perlu kerana ianya merupakan asas bagi segala gerak kerja. Keyakinan yang teguh bukan sahaja membantu seseorang individu dalam setiap tindak-tanduknya malahan mengelakkan rasa was-was dan ragu-ragu kerana individu yang sedemikian amat besar kemungkinan tidak mampu untuk menjalankan tugas besar ini dengan sempurna. Tugas ini juga tidak layak kepada mereka yang mengalami kekusutan fikiran dan berbelah bahagi apatah lagi mereka yang mudah terpengaruh dengan pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Apa yang dimaksudkan dengan keimanan yang teguh adalah mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t, percaya akan Yaumul Hisab (Hari Perhitungan) sebagaiman yang temaktub di dalm Al-Qur’an dan semestinya meyakini inilah jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w serta menjadikan segala yang bertentangan dengan jalan ini sesuatu yang sia-sia dan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Selain itu mereka juga perlu membuat penilaian terhadap sesuatu tindakan berlandaskan kepada Kitabullah iaitu Al-Qur’an dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w sama ada tindakan itu benar atau pun bertentangan.
Kelayakan seterusnya yang perlu ada ialah keperibadian kerana setiap tindakan seseorang mencerminkan apa yang dia pertuturkan. Dirinya akan istiqamah dalam melaksanakan sesuatu yang dianggap benar dan menjauhi segala yang difikirkan salah. Ini kerana segala tindak-tanduknya menggambarkan kefahaman yang ada padanya dan tidak memerlukan pengaruh atau tekanan dari luar dalam melakukan tindakan tersebut. Cukuplah baginya bahawa setiap ‘amalan itu perlu mendapat keredhaan dari Allah s.w.t sebagai hujah yang terbaik dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan kekhusyukan. Syakhsiyyah fardhiyyah ini juga amat penting bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian malahan sebagai satu kekuatan dalam menghadapi ancaman dan pengaruh pesekitaran yang sering merosakkan. Bagi yang tidak mempunyai mutu peribadi tidaklah bermakna tidak layak untuk melaksanakan pembaharuan, meskipun cuma ada sekelumit keimanan Islam tetapi bagi golongan sebegini tidak boleh dijadikan sebagai tenaga penggerak (muharrik) yang sebenarnya. Begitu juga dengan orang-orang yang tidak beriman dan merupakan seteru Islam adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ingin memberikan bantuan. Kelemahan dari golongan-golongan ini ialah mereka tidak mempu untuk mewujudkan peraturan Islam dan tidak berupaya untuk menyekat arus perkembangan Jahiliyah walaupun mereka dalam kuantiti yang ramai. Kesimpulannya, tugasan yang berat ini hanya mampu dilakukan oleh dijalankan oleh orang-orang yang lengkap dengan keimanan, bekalan ilmu dan peribadi yang utuh.
Seterusnya ialah meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat (tujuan) hidup mereka dan bukannya sekadar satu cita-cita sahaja. Kesimpulannya, kelayakan-kelayakan asas seperti inilah yang patut ada di dalam setiap diri individu yang ingin memperjuangkan kesucian dan menegakkan peraturan Islam serta perlu diingat tanpa kelayakan seperti inilah yang akan menjadikan perjuangan itu suatu yang sia-sia. USU, Bahau. |
| Leave a Comment: |