CAHAYA LAUZAIE = MENYULUH PEMIKIRAN ANDA


Mar 18, 2007
‘Pra Syarat Kejayaan Harakah Islamiyah'

Pada penulisan yang lepas di bawah tajuk ‘Pra Syarat Kejayaan Harakah Islamiyah', saya telah menulis secara ringkas mengenai kandungan buku tersebut dan pada kali ini, insya Allah akan dihurai dengan lebih lanjut mengikut bab.

 

1) KELAYAKAN PERIBADI GOLONGAN YANG TERLIBAT DI DALAM KEGIATAN SESEBUAH RANCANGAN HARAKAH ISLAMIYAH:

 

  • Pemahaman Islam secara menyeluruh

 

Kelayakan peribadi yang pertama ialah kefahaman Islam yang sebenar yakni menyeluruh. Ini bermaksud seseorang itu perlu mempunyai kefahaman dan ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai Islam supaya mereka lebih jelas mengenai apakah yang bakal mereka perjuangkan dalam harakah ini. Dalam usaha untuk memperoleh pengetahuan ini juga ia bergantung kepada kebolehan diri seseorang dan perlu diingat tidak semestinya orang yang berjuang di jalan ini adalah pakar dalam ilmu Islam. Tetapi apa yang perlu adalah suatu kelayakan tertentu yang setidak-tidaknya membolehkan mereka untuk membezakan di antara ‘aqidah Islamiyah dengan ciri-ciri Jahiliyah  dan juga di antara amalan-amalan Islam dengan yang bukan Islam. Ini amat penting supaya individu tersebut memahami kepentingan Islam sebagai panduan dalam seluruh aspek kehidupan  dan juga dapat membantu keberkesanan dalam melakukan gerak kerja. Selain itu, kemantapan dari segi ilmu juga perlu bagi menangkis pandangan-pandangan dan hujah-hujah yang sengaja dilahirkan oleh golongan Orientalis dan juga musuh-musuh Islam bagi mengelirukan masyarakat  khususnya yang beragama Islam supaya mereka tidak yakin dengan Islam itu sendiri

 

  • Memiliki keimanan yang teguh terhadap Islam

 

Di samping ilmu dan kefahaman, keimanan yang teguh terhadap Aqidah juga perlu kerana ianya merupakan asas bagi segala gerak kerja. Keyakinan yang teguh bukan sahaja membantu seseorang individu dalam setiap tindak-tanduknya malahan mengelakkan rasa was-was dan ragu-ragu kerana individu yang sedemikian amat besar kemungkinan tidak mampu untuk menjalankan tugas besar ini dengan sempurna. Tugas ini juga tidak layak kepada mereka yang mengalami kekusutan fikiran dan berbelah bahagi apatah lagi mereka yang mudah terpengaruh dengan pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Apa yang dimaksudkan dengan keimanan yang teguh adalah mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t, percaya akan Yaumul Hisab (Hari Perhitungan) sebagaiman yang temaktub di dalm Al-Qur’an dan semestinya meyakini inilah jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w serta menjadikan segala yang bertentangan dengan jalan ini sesuatu yang sia-sia dan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Selain itu mereka juga perlu membuat penilaian terhadap sesuatu tindakan berlandaskan kepada Kitabullah iaitu Al-Qur’an dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w sama ada tindakan itu benar atau pun bertentangan.

 

  • Watak keperibadian (Syakhsiyyah Fardiyyah)

 

Kelayakan seterusnya yang perlu ada ialah keperibadian kerana setiap tindakan seseorang mencerminkan apa yang dia pertuturkan. Dirinya akan istiqamah dalam melaksanakan sesuatu yang dianggap benar dan menjauhi segala yang difikirkan salah. Ini kerana segala tindak-tanduknya menggambarkan kefahaman yang ada padanya dan tidak memerlukan pengaruh atau tekanan dari luar dalam melakukan tindakan tersebut. Cukuplah baginya bahawa setiap ‘amalan itu perlu mendapat keredhaan dari Allah s.w.t sebagai hujah yang terbaik dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan kekhusyukan. Syakhsiyyah fardhiyyah ini juga amat penting bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian malahan sebagai satu kekuatan dalam menghadapi ancaman dan pengaruh pesekitaran yang sering merosakkan. Bagi yang tidak mempunyai mutu peribadi tidaklah bermakna tidak layak untuk melaksanakan pembaharuan, meskipun cuma ada sekelumit keimanan Islam tetapi bagi golongan sebegini tidak boleh dijadikan sebagai tenaga penggerak (muharrik) yang sebenarnya. Begitu juga dengan orang-orang yang tidak beriman dan merupakan seteru Islam adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ingin memberikan bantuan. Kelemahan dari golongan-golongan ini ialah mereka tidak mempu untuk mewujudkan peraturan Islam dan tidak berupaya untuk menyekat arus perkembangan Jahiliyah walaupun mereka dalam kuantiti yang ramai.  Kesimpulannya, tugasan yang berat ini hanya mampu dilakukan oleh dijalankan oleh orang-orang yang lengkap dengan keimanan, bekalan ilmu dan peribadi yang utuh.

 

  • Menjadikan Islam sebagai matlamat hidup (al-ghayah)

 

Seterusnya ialah meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat (tujuan) hidup mereka dan bukannya sekadar satu cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, mereka meyakini ilmu itu dan mengamalkannya tetapi malangnya matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri malah tidak berusaha untuk mencapainya. Golongan yang paling layak untuk melakukan tajdid (pembaharuan) ini adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk menggantikan peraturan yang dikuasai oleh Jahiliyah sebagai matlamat hidup meskipun mereka terlibat di dalam kegiatan-kegiatan lain. Dalam melaksanakan tugasan ini, mereka perlu bersedia untuk mengorbankan masa, harta, jasad dan begitu juga dengan jiwa mereka dan bersedia untuk menyumbangkan akal fikiran mereka untuk mencapai matlamat ini. Selain itu juga mereka tidak teragak-agak sekiranya nyawa mereka menjadi taruhan andainya perjuangan ini memerlukan pengorbanan sedemikian. Dengan adanya golongan sebeginilah yang mampu untuk berhadapan dengan Jahiliyah dan menyediakan tapak untuk menegakkan kembali peraturan Islam di atas muka bumi ini.

 

Kesimpulannya, kelayakan-kelayakan asas seperti inilah yang patut ada di dalam setiap diri individu yang ingin memperjuangkan kesucian dan menegakkan peraturan Islam serta perlu diingat tanpa kelayakan seperti inilah yang akan menjadikan  perjuangan itu suatu yang sia-sia.

 

 

USU,

Bahau.

 


Posted at 09:11 am by lauzaie

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments







Previous Entry Home Next Entry



lauzaie

CAHAYA LAUZAIE
kami mengalu-alukan BAHAN TARBIAH dari anda
Sila hubungi kami
melalui :
cahaya_lauzaie@yahoo.com
(^_^)
Ciri Dakwah Yang Realiti : >
  • Rabbaniyyah
  • Syumul dan lengkap
  • Pemberian suatu pembaharuan
  • Penyelarasan antara kebendaan/materialisme dan kerohanian
  • Mudah, keterbukaan dan logik (pada perkara tertentu)
  • Keadilan Islam
  • Berperinsip pada perkara utama agama



  •    





    << March 2007 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03
    04 05 06 07 08 09 10
    11 12 13 14 15 16 17
    18 19 20 21 22 23 24
    25 26 27 28 29 30 31




    View My Stats






    View My Stats





    BLOG INI MEMPUNYAI BAHAN-BAHAN BACAAN TARBIAH, BEKALAN DAKWAH DAN BAHAN PRAKTIKAL AMAL ISLAMI SECARA UMUM DAN MENCAPAH. DIHARAP KEHADIRAN BLOG INI MENJADI PERMATA DI CELAHAN BAHAN-BAHAN PICISAN INTERNET/WEB YANG SERING DIKUNJUNGI OLEH REMAJA MUTAKHIR INI. KAMI MENGHARAPKAN KEPADA PENGUNJUNG MENELITI JUGA BAHAN-BAHAN YANG TERDAHULU DALAM BLOG INI MELALUI BAHAGIAN 'NEXT' DIBAWAH.
    .:.:.:ALLAH BERSAMA KITA.:.:.:.





    Contact Me

    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




    rss feed