Menyelami Perbahasan Tasyri' Al-Wala' wal-Baro'
Oleh : Along
PENGENALAN
Ketika
ini, kelihatan terlalu banyak seruan untuk mengikat persaudaraan,
persamaan, tuntutan berpesatuan daripada pelbagai organisasi,
perbadanan atau pertubuhan di panggung dunia. Meskipun tuntutan
sebegini timbul, namun masing-masing masih ingin mempertahankan
fahaman, ideologi mahupun norma hidup mereka kerana bagi mereka agama
tiada perkaitan dengan perkara duniawi. Demi mencapai matlamat
penyatuan inilah, timbulnya kepelbagaian istilah penyatuan contohnya "Persaudaraan antara agama", "Internasional", "Kemanusiaan"
dan lain-lain lagi. Bermulanya propaganda penyatuan ini menyebabkan
munculnya teori-teori yang merobek Aqidah ummah Islam seterusnya
dipraktikalkan oleh masyarakat Islam yang terpengaruh dengan propaganda
penyatuan masyarakat ini. Demi mencapai Syowah Islamiah(kesedaran
Islam), penulis cuba untuk berbicara lanjut mengenai al-Wala'
wal-Baro'(ketaatan dan permusuhan/pemutusan) yang menjadi punca
kepincangan Aqidah Islamiah. Ahli Harakah Islamiah memainkan peranan
penting dalam memulihkan kebobrokan Akhlak dan Aqidah yang melanda
ummah ketika ini. Dalam memahami al-Wala' wal-Baro', ahli Harakah
Islamiah seharusnya mempunyai Aqidah dan Fikrah yang murni demi
membumikan ilmu ini dalam diri.
PENDEFINISIAN
Aqidah
manusia begitu berkait rapat dengan al-Wala'(ketaatan) dan
al-'ada'(permusuhan). Seharusnya, sebagai suatu ummah yang bersatu,
umat Islam wajib mempertahankan batu-bata sebuah bangunan yang kukuh
terbina sejak permulaan kelahiran Nabi Adam. Inilah yang dinamakan
Jama'atul Muslimin. Al-Wala' memberikan pengetian meluas, antara lainnya disebut oleh Dr. Abdullah Ibrahim Ath-Thariqi dalam karangannya ialah menjadikan sesuatu sebagai wali di samping memberikan rasa cinta dan pertolongan kepada sesuatu. Al-'ada' pula didefinisikan sebagai mengadakan permusuhan dan kebencian serta bersikap menjauhi dan menyatakan tentangan terhadap sesuatu.
Dalam membicarakan bab ini, Syaikh Abdul Latif ibnu Abdurrahman Alu
Syaikh r.hm pernah menyatakan bahawa Al-Wala' mempunyai pendorong yang
cukup kuat iaitu rasa cinta manakala Al-'ada' pula didorongi dengan
rasa benci. Dorongan cinta dan benci ini mampu menimbulkan pelbagai
sikap, ragam dan perbuatan manusia yang menggambarkan hakikat Al-Wala'
dan Al-'ada'.
PANDANGAN SYARIAT ISLAM
Syariat
Islam amat bertegas dalam membahaskan Al-Wala' dan Al-'ada'. Al-Quran
sendiri yang menjadi rujukan utama Jama'atul Muslimin membahaskan
dengan panjang lebar berkenaan masalah ini, terutamanya di dalam
surah-surah Madaniyah yang turun setelah penghijrahan Rasulullah.
Peristiwa kejayaan Islam untuk membina sebuah pemerintahan sendiri di
Madinah(negara Islam pertama ditubuhkan) menunjukkan berlakunya
perpisahan kepimpinan Islam(wali Ar-Rahman) dan kepimpinan kafir(wali
syaitan). Setelah itu, umat pada zaman Rasulullah terpecah kepada
bebrapa golongan:
Golongan pertama
Kaum
Muhajirin dan Ansar di Madinah yang berada di bawah naungan bendera
Rasulullah. Allah telah menumpahkan rasa wala'(saling melindungi)
kepada kelompok ini secara menyeluruh(kamil) di antara mereka.
Golongan kedua
Kaum
Muslimin yang tidak bersama dalam hijrah Nabi. Golongan ini masih layak
mendapat perlindungan dan pertolongan dari Jama'atul Muslimin
disebabkan masih ada persamaan antara Jama'atul Muslimin dan mereka
iaitu, Iman. Namun, Jama'atul Muslimin tidak dibolehkan memberikan
pertolongan kepada golongan ini apabila mereka diperangi oleh orang
kafir yang terikat dengan perjanjian, melainkan orang kafir tersebut yang menyerang terlebih dahulu.
Golongan ketiga
Orang
munafik yang berada di Madinah dan sekitarnya. Peristiwa bantahan yang
dikemukakan oleh seorang munafik terhadap pembahagian ghonimah yang
dilakukan oleh Rasulullah menunjukkan bahawa golongan munafik berhak
mendapatkan wala' dari umat Islam sesuai dengan kebaikan yang nampak.
Sebaliknya, mereka akan mendapatkan baro'(pemutusan hubungan) sesuai
dengan kejahatan yang nampak. Namun, Jama'atul Muslimin wajib untuk
berjihad menentang dan menyempitkan gerak kerja golongan yang secara
zahirnya memperlihatkan kemurtadan dan sikap skeptikal terhadap agama
Islam.
Golongan keempat
Golongan
Yahudi yang menetap di Madinah dan Nasrani yang menetap sekitar Najran,
Habshah dan Sham. Sikap dan perbuatan golongan ini terhadap umat Islam
disebutkan secara panjang lebar di dalam mushaf Al-Quran, berkenaan
ideologi dan fahaman mereka yang sesat, kedengkian mereka terhadap umat
Islam serta akhlak dan moral mereka yang punah, rosak dalam arus
Jahiliyah. Allah melarang sama sekali umat Islam untuk memberi wala'
terhadap golongan ini dalam memimpin dan mentadbir masyarakat
sepertimana sekitar penjelasan Surah Al-Maidah, ayat 51.
Golongan kelima
Golongan
musyrik Arab dan seluruh orang kafir dengan dikecualikan Ahli Kitab,
sama ada mereka adalah keturunan Arab atau tidak, sama ada mereka
musyrik atau Atheis. Islam membekukan hubungan antara umat Islam dengan
golongan ini dan bagi mereka hanya dua pilihan yang ditawarkan oleh
syariat Islam, sama ada menganut Islam atau berperang. Tiada lagi wujud
sentimen kasih sayang , sokongan mahupun pertolongan bagi mereka dari
kalangan Jama'atul Muslimin. Hatta, jumhur Ulama' bersikap keras dengan
menolak jizyah dari mereka.
Huraian
di atas jelas menunjukkan norma dan corak kehidupan manusia yang
sezaman dengan kehidupan Rasullullah dan sikap tegas dan keras umat
Islam terhadap mereka. Suatu i'tiqad yang seharusnya ditanam dan
dibajai dalam diri setiap umat Islam iaitu walayah(cinta, sokongan dan
pertolongan) hanya menjadi milik mutlak Allah Taala dan adanya
tasyri'(undang-undang) wala' terhadap orang mukmin dan 'ada' terhadap
orang kafir.
Pada
penulisan akan datang, penulis akan membicarakan beberapa kaedah
penting dalam memahami Al-Wala' dan Al-'ada', hakikat dan batasan baro'
terhadap bukan Muslim serta bentuk-bentuk wala' dan hukumnya menurut
syariat Islam.
ALONG,
Sepang, Selangor.