CAHAYA LAUZAIE = MENYULUH PEMIKIRAN ANDA


Mar 18, 2007
Kepentingan perencanaan dalam jemaah.

Kepentingan perencanaan dalam jemaah.

 

Perencanaan bermaksud perancangan, jadual, plan, yang akan dilakukan oleh sesebuah jemaah. Perancangan juga merupakan satu perkara yang melambangkan identity sesebuah jemaah. Jemaah yang yang baik mempunyai perencanaan yang tersusun dan tepat dengan matlamat jemaah. Menjadikan jemaah sentiasa bergerak mengikut landasan yang betul, memerlukan perencanaan yang rapi dan teliti supaya semua objektif tercapai dan keredhaan Allah diraih.

 

Jika kita lihat kepada sirah Rasulullah, Allah telah merancang yang terbaik dalam dakwah Rasulullah. Ketika berdakwah di Mekah, secara berperingkat, kemudian dizahirkan. Seterusnya dakwah dan pemerintahan di Madinah lebih meluas. Ini semua adalah perencanaan Allah kepada Rasulullah. Begitu juga ketika pemerintahan Rasulullah, beliau membuat perancangan dengan begitu teliti dengan permulaan mempersaudarakan antara kaum Ansar dan Muhajirin untuk membantu kaum Muhajirin. Selain itu, Rasulullah juga telah membuat piagam Madinah yang paling ‘adil.

 

Di dalam konteks jemaah, ilmu pengurusan sangat penting untuk membuat perencanaan yang tersusun. Merencanakan sesuatu aktiviti dan program jemaah perlukan penelitian yang sempurna. Begitu juga untuk menyusun strategi. Jemaah yang mantap mempunyai strategi yang baik hasil daripada pemerhatian dan kajian yang telah dilakukan. Strategi untuk membangunkan, mengekalkan, menangani masalah yang akan timbul serta strategi menyerang dan mengalahkan musuh.

 

Jika kita hanya membangun dari segi perancangan strategi untuk memantapkan jemaah dan memperkuatkan jemaah di pihak kita sahaja sedangkan hal-hal dipihak musuh diketepikan dan dipandang enteng, kita tidak akan berjaya mengalahkan mereka. Jangan kita lupa, musuh juga mempunyai tanzim mereka sendiri. Oleh itu, mereka juga pasti tidak henti-henti membuat perencanaan untuk menghentikan dakwah Islam.

 

Mungkinkah perencanaan musuh lebih hebat? Sebagai pihak yang menegakkan kebenaran, kita harus mengerahkan semua tenaga untuk Islam. Tidakkah kita sedar bahawa musuh-musuh Islam sentiasa membuat rancangan baru untuk menghancurkan dakwah Islam?adakalanya perencanaan musuh-musuh Islam lebih baik dan sangat berkesan berbanding dengan umat Islam yang kebanyakannya leka, malas dan pentingkan diri sendiri. Sikap-sikap beginilah yang membawa kegagalan kepada perancangan jemaah.

 

            Ketika membuat perancangan, semua faktor mesti diambil kira. Perancangan yang dibuat mestilah teliti supaya ada perkara  yang tidak terlepas pandang. Antara faktor-faktor perencanaan yang diperlukan adalah :

  • menentukan matlamat jemaah. Perlu disenaraikan dan dijelaskan apakah matlamat jangka panjang dan matlamat jangja pendek yang ingin dicapai oleh jemaah.
  • menentukan method untuk mencapai matlamat di atas. Matlamat yang digunakan haruslah jelas dan tidak membelakangkan syariat Islam. Matlamat tidak menghalalkan cara adalah antara kata-kata yang popular. Cara yang salah akan menjadikan perbuatan yang dilakukan menjadi sia-sia dan tidak mendapat berkat daripada Allah.
  • perencanaan haruslah berperingkat-peringkat supaya nampak terususun dan teratur. Perencanaan hendaklah dilakukan dalam keadaaan tenang dan tidak tergesa-gesa. Ini penting kerana faktor emosi dan masalah sekeliling yang menekan akan menjadi sebab kepada perencanaan yang tidak bagus.
  • menentukan sikap pergerakan dan jemaah terhadap agama-agama lain. Taktik dan strategi peperangan akan dirancang.

 

Jika kita lihat akan kejayaan seorang pelajar, ahli perniagaan ataupun mana-mana golongan professional, mereka mempunyai perancangan waktu yang betul dan sistematik.            Kajian menyatakan kerjayaan dalam sesuatu bidang adalah bergantung kepada salah satu faktor utamanya, iaitu pengurusan masa. Begitu juga kaitannya dengan perencanaan jemaah yang baik, akan membantu jemaah mencapai matlamatnya. Merancang strategi memerlukan pengetahuan mendalam tentang isu-isu semasa dan keadaan sekeliling. Akan tetapi, fitrah manusia yang sentiasa lemah dan menharapkan orang lain. Manusia cuba merancang sebaik mungkin, akan tetapi, Allah yang Maha Berkuasa yang akan menentukan segalanya.

 

Oleh sebab itu, kita tidak boleh mempersoalkan mengapa kita tidak berjaya mencapai matlamat sedangkan kita telah membuat perencanaan yang rapi. Kita juga tidak boleh mengharapkan hasil daripada perencanaan dan pelaksanaan yang telah dilakukan sentiasa positif. Adakalanya hasilnya tidak kelihatan dan ada juga yang berlaku disebalik perancangan kita. Perkara tersebut hendaklah ditanam dalam minda dari awal bahawa kita tidak boleh mengharapkan semua yang telah kita rancangkan akan berjalan dengan lancar dan sistematik. Hanya Allah yang berhak menentukan segalanya.

 

 

ATEH,

Endau

 


Posted at 09:15 am by lauzaie
Make a comment  

‘Pra Syarat Kejayaan Harakah Islamiyah'

Pada penulisan yang lepas di bawah tajuk ‘Pra Syarat Kejayaan Harakah Islamiyah', saya telah menulis secara ringkas mengenai kandungan buku tersebut dan pada kali ini, insya Allah akan dihurai dengan lebih lanjut mengikut bab.

 

1) KELAYAKAN PERIBADI GOLONGAN YANG TERLIBAT DI DALAM KEGIATAN SESEBUAH RANCANGAN HARAKAH ISLAMIYAH:

 

  • Pemahaman Islam secara menyeluruh

 

Kelayakan peribadi yang pertama ialah kefahaman Islam yang sebenar yakni menyeluruh. Ini bermaksud seseorang itu perlu mempunyai kefahaman dan ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai Islam supaya mereka lebih jelas mengenai apakah yang bakal mereka perjuangkan dalam harakah ini. Dalam usaha untuk memperoleh pengetahuan ini juga ia bergantung kepada kebolehan diri seseorang dan perlu diingat tidak semestinya orang yang berjuang di jalan ini adalah pakar dalam ilmu Islam. Tetapi apa yang perlu adalah suatu kelayakan tertentu yang setidak-tidaknya membolehkan mereka untuk membezakan di antara ‘aqidah Islamiyah dengan ciri-ciri Jahiliyah  dan juga di antara amalan-amalan Islam dengan yang bukan Islam. Ini amat penting supaya individu tersebut memahami kepentingan Islam sebagai panduan dalam seluruh aspek kehidupan  dan juga dapat membantu keberkesanan dalam melakukan gerak kerja. Selain itu, kemantapan dari segi ilmu juga perlu bagi menangkis pandangan-pandangan dan hujah-hujah yang sengaja dilahirkan oleh golongan Orientalis dan juga musuh-musuh Islam bagi mengelirukan masyarakat  khususnya yang beragama Islam supaya mereka tidak yakin dengan Islam itu sendiri

 

  • Memiliki keimanan yang teguh terhadap Islam

 

Di samping ilmu dan kefahaman, keimanan yang teguh terhadap Aqidah juga perlu kerana ianya merupakan asas bagi segala gerak kerja. Keyakinan yang teguh bukan sahaja membantu seseorang individu dalam setiap tindak-tanduknya malahan mengelakkan rasa was-was dan ragu-ragu kerana individu yang sedemikian amat besar kemungkinan tidak mampu untuk menjalankan tugas besar ini dengan sempurna. Tugas ini juga tidak layak kepada mereka yang mengalami kekusutan fikiran dan berbelah bahagi apatah lagi mereka yang mudah terpengaruh dengan pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Apa yang dimaksudkan dengan keimanan yang teguh adalah mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t, percaya akan Yaumul Hisab (Hari Perhitungan) sebagaiman yang temaktub di dalm Al-Qur’an dan semestinya meyakini inilah jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w serta menjadikan segala yang bertentangan dengan jalan ini sesuatu yang sia-sia dan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Selain itu mereka juga perlu membuat penilaian terhadap sesuatu tindakan berlandaskan kepada Kitabullah iaitu Al-Qur’an dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w sama ada tindakan itu benar atau pun bertentangan.

 

  • Watak keperibadian (Syakhsiyyah Fardiyyah)

 

Kelayakan seterusnya yang perlu ada ialah keperibadian kerana setiap tindakan seseorang mencerminkan apa yang dia pertuturkan. Dirinya akan istiqamah dalam melaksanakan sesuatu yang dianggap benar dan menjauhi segala yang difikirkan salah. Ini kerana segala tindak-tanduknya menggambarkan kefahaman yang ada padanya dan tidak memerlukan pengaruh atau tekanan dari luar dalam melakukan tindakan tersebut. Cukuplah baginya bahawa setiap ‘amalan itu perlu mendapat keredhaan dari Allah s.w.t sebagai hujah yang terbaik dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan kekhusyukan. Syakhsiyyah fardhiyyah ini juga amat penting bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian malahan sebagai satu kekuatan dalam menghadapi ancaman dan pengaruh pesekitaran yang sering merosakkan. Bagi yang tidak mempunyai mutu peribadi tidaklah bermakna tidak layak untuk melaksanakan pembaharuan, meskipun cuma ada sekelumit keimanan Islam tetapi bagi golongan sebegini tidak boleh dijadikan sebagai tenaga penggerak (muharrik) yang sebenarnya. Begitu juga dengan orang-orang yang tidak beriman dan merupakan seteru Islam adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ingin memberikan bantuan. Kelemahan dari golongan-golongan ini ialah mereka tidak mempu untuk mewujudkan peraturan Islam dan tidak berupaya untuk menyekat arus perkembangan Jahiliyah walaupun mereka dalam kuantiti yang ramai.  Kesimpulannya, tugasan yang berat ini hanya mampu dilakukan oleh dijalankan oleh orang-orang yang lengkap dengan keimanan, bekalan ilmu dan peribadi yang utuh.

 

  • Menjadikan Islam sebagai matlamat hidup (al-ghayah)

 

Seterusnya ialah meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat (tujuan) hidup mereka dan bukannya sekadar satu cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, mereka meyakini ilmu itu dan mengamalkannya tetapi malangnya matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri malah tidak berusaha untuk mencapainya. Golongan yang paling layak untuk melakukan tajdid (pembaharuan) ini adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk menggantikan peraturan yang dikuasai oleh Jahiliyah sebagai matlamat hidup meskipun mereka terlibat di dalam kegiatan-kegiatan lain. Dalam melaksanakan tugasan ini, mereka perlu bersedia untuk mengorbankan masa, harta, jasad dan begitu juga dengan jiwa mereka dan bersedia untuk menyumbangkan akal fikiran mereka untuk mencapai matlamat ini. Selain itu juga mereka tidak teragak-agak sekiranya nyawa mereka menjadi taruhan andainya perjuangan ini memerlukan pengorbanan sedemikian. Dengan adanya golongan sebeginilah yang mampu untuk berhadapan dengan Jahiliyah dan menyediakan tapak untuk menegakkan kembali peraturan Islam di atas muka bumi ini.

 

Kesimpulannya, kelayakan-kelayakan asas seperti inilah yang patut ada di dalam setiap diri individu yang ingin memperjuangkan kesucian dan menegakkan peraturan Islam serta perlu diingat tanpa kelayakan seperti inilah yang akan menjadikan  perjuangan itu suatu yang sia-sia.

 

 

USU,

Bahau.

 


Posted at 09:11 am by lauzaie
Make a comment  

PERANAN HARAKAH ISLAMIYYAH

PERANAN HARAKAH ISLAMIYYAH

 

Secara umumnya kita memahami harakah islamiyyah sebagai satu gerakan tajdid yang membawa gelombang Islam ke dalam masyarakat. Tetapi mungkin kita lagi masih kabur untuk memahami dengan sejelas-jelasnya akan peranan harakah islamiyyah kepada dunia Islam seluruhnya pada masa kini.

 

Harakah Islamiyyah menurut Fathi Yakan adalah berperanan membawa manusia kembali mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu ataupun secara berjemaah, supaya masyarakat seluruhnya akan kembali meletakkan al-Quran dan as-sunnah sebagai sumber rujukan dalam segenap lapangan kehidupan. Ajakan kepada pengabdian kepada Allah secara mutlak ke dalam masyarakat ini menuntut satu gerak kerja yang teratur, berstruktur dan berstrategi untuk menjayakannya.

 

            Harakah Islamiyyah adalah satu tanzim ‘alami yang menggabungkan petugas dakwah dari seluruh dunia untuk mencapai matlamat yang satu, yang dapat dicapai dengan menggunakan uslub penyampaian dakwah Islam yang suci dan murni. Kita melihat pada hari ini serangan terhadap Islam dilancarkan dari segenap segi, terarah kepada setiap generasi umat Islam kini. Keperluan harakah islamiyyah adalah untuk  menggabungkan petugas dakwah ini bersesuaian dengan keadaan semasa yang memerlukan mereka berintima’ dengan jemaah, mentanzimkan mereka dan meyakinkan mereka akan keperluan berintima’. Seterusnya, harakah Islamiyyah perlu men‘centralizaed’kan segala perancangan agar peranan harakah menjadi jelas dan gerak kerja dapat dilakukan dengan sempurna.

 

            Serangan yang dilancarkan kepada umat Islam tidak sahaja datang daripada penjajahan pemikiran ciptaan golongan kuffar tetapi juga apabila umat Islam terperangkap dalam permasalahan bid’ah dan khurafat yang begitu berleluasa pada hari ini. Harakah Islamiyyah berperanan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat kepada aqidah yang sebenarnya, dalam erti kata lain membanteras segala bentuk penyelewengan yang telah dilakukan terhadap islam dan hukumnya sejak dulu hinga sekarang.. Dengan itu juga bermakna, hukum-hukum Islam yang bersifat sempurna dan menyeluruh diyakini akan dapat membantu untuk mencapai matlamat ini seterusnya membantu masyarakat dalam setiap urusan kehidupan.

 

            Menyorot pada sejarah manusia terdahulu, kaedah asas kepada tertegaknya Islam dalam masyarakat adalah kaedah “Lailaha illallah” (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah). Harakah islamiyyah meyakini bahawa kaedah ini adalah kaedah yang meletakkan tauhid uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan tauhid hakimiyah (kehakiman dan perundangan) hanya kepada Allah azza wa jalla. Daripada ini, harakah Islamiyyah juga meyakini Islam adalah kekuatan asasi yang akan mengembalikan manusia pada landasan kehidupan yang sebenarnya, yang membawa kekuatan, kemajuan dan kejayaan, menewaskan propaganda taghut serta menyinari alam semesta ini hanya dengan kalimah Allah semata-mata.

 

            Jika dipandang dari sudut yang berbeza, pengembalian manusia pada jalan fitrah juga bermakna harakah islam menolak segala bentuk ideologi dangkal ciptaan manusia. Ketundukan kepada ideologi mungkar merupakan satu bentuk pengingkaran kepada keesaan Allah Ta’ala, kekufuran terhadap Islam yang agung dan menjadi perbuatan yang bodoh kerana membiarkan diri sendiri kehilangan arah sedangkan petunjuk Allah ada didepan mata.

 

            As-syahid Imam Hasan al-Banna dalam menyimpulkan perkara ini menyatakan bahawa peranan-peranan harakah Islamiyyah adalah bersandarkan kepada keyakinan-keyakinan yang telah disebutkan sebelum ini. Kesemua peranan perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tempat atau golongan tertentu sahaja supaya cahaya Islam itu sahajalah yang akan menerangi kehidupan manusia. Maka tidak akan ada lagi bentuk penyelewengan terhadap Islam dan agama itu menjadi semata-mata hanya untuk Allah.

 

 

UDA,

Rembau.

 


Posted at 09:07 am by lauzaie
Make a comment  




Jan 2, 2007
AT-THAWAABIT WAL MUTAGHAIYYIRAT

AT-THAWAABIT WAL MUTAGHAIYYIRAT

 

Definisi :

 

At-Thawaabit

·         Berasal dari perkataan arab ‘thabit’ dari segi bahasa adalah bermaksud tetap.dalam istilah syarak pula bemaksud perkara asas dan perkara pokok dalam Islam yang tidak boleh ditolak. Perkara  thawaabit merangkumi syariat Islam yang mesti dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Perkara thawaabit juga tidak boleh diijtihadkan dan masuk dalam keputusan syura.

·         Contoh perkara thawaabit adalah seperti tuntutan menunaikan solat 5 waktu, membayar zakat mentarbiyyah pelapis baru.

 

Al-mutaghaiyyirat

·         dari segi bahasa pula bermaksud perkara yang boleh berubah-ubah dan perkara selain daripada thawaabit.

·         Dari segi istilah pula bermaksud perkara furu’ atau perkara cabang dalam Islam yang mana keputusannya boleh diubah oleh majlis syura dan amir dalam sesebuah organisasi tanzim. Ia juga adalah kaedah alternative yang boleh digunakan dalam pelaksanaan perkara thawaabit.

·         Contoh-contoh perkara mutaghaiyyirat adalah seperti kaedah berpolitik, cara pemakaian seorang muslim dan kaedah berdakwah.

 

Dalam gerakan Islam masa kini, ramai ahli yang keliru dan tidak dapat menentukan samada sesuatu perkara itu adalah thawaabit atau mutaghaiyyirat. Ini akan menyebabkan mereka mengambil tindakan yang tidak tepat dan kadang-kadang akan merugikan sesebuah jemaah. Terdapat juga ahli yang keliru dengan konsep ini dan konsep fiqh aulawiyyat dalam gerakan Islam.

 

FIQH AULAWIYYAT DALAM ELEMEN USUL DAN FURU’

 

Fiqh aulawiyyat adalah keputusan antara perkara mana yang paling utama untuk dilaksanakan dan dipertimbangkan. Ini juga boleh diputuskan oleh syura. Akan tetapi konsep thawaabit dan mutaghiyyrat ini adalah di mana satu-satu perkara itu dilaksanakan dengan sepenuhnya mengikut syara’ dan perkara yang selebihnya adalah perkara furu’ yang boleh dilaksanakan dengan pendekatan yang pelbagai mengikut waqi’ dan keadaan pemerintahan sesebuah kerajaan.

 

Sebagai penegak kalimah Allah di muka bumi ini, seseorang mestilah mempunyai niat yang murni dan suci, niat untuk mengislahkan masyarakat. Dalam pada sesebuah jemaah itu melaksanakan sesuatu perkara, mereka mestilah menitik beratkan perkara yang usul (thawaabit) berbanding perkara furu’ yang tidak akan memberikan kesan yang dikehendaki

 

 

Untuk melaksanakan pemutusan perkara ini, syura dan individu yang terlibat haruslah mempunyai ilmu yang menyeluruh tentang ilmu-ilmu agama dan waqi’ sesuatu tempat.

Perkara thawaabit dan mutaghaiyyirat merupakan aspek penting kerana ia akan menentukan pembawaan sesebuah jemaah yang haraki. Selain itu kepentingannya juga adalah untuk mendidik ahli supaya lebih peka dan lebih matang dalam menangani masalah-masalah yang melibatkan dua perkara di atas.

 

ELEMEN MUTAHGHAIYYIRAT DALAM HARAKAH

 

Dalam harakah islamiyyah perkara-perkara mutaghaiyyirat adalah perkara yang amat penting dalam konteks dakwah kerana boleh menggunakan pelbagai uslub dakwah untuk menarik lebih ramai masyarakat untuk mendekati Islam. Selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam, ia boleh dijalankan.seperti contoh menganjurkan hari keluarga yang melibatkan non-muslim dan kita mendominasi suasana itu dengan membawa suasana Islamic. Banyak lagi keadah pendekatan yang lebih kreatif yang boleh dilaksanakan. Begitu juga dalam perkara-furu’ yang lain.

 

Sebelum mengakhiri , ingin saya ingatkan kepada sekalian pejuang-pejuang Islam, jangan leka dalam membuat keputusan sesuatu perkara. Ia hendaklah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah selain merujuk kepada ‘alim ulama’.

 

          Kesimpulannya adalah semua perkara yang berlaku dalam seEsbuah organisasi adalah dikelaskan samada perkara thwaabit atau mutaghaiyyrat. Organisasi jemaah yang berrjaya mengutamakan perkara-perkara thawaabit daripada perkara mutaghiyyirat.

 

ATEH

SURA HUJUNG

 


Posted at 10:58 pm by lauzaie
Make a comment  

Matlamat khusus Harakah Islamiyah

Matlamat khusus Harakah Islamiyah

 

Matlamat diperlukan dalam satu-satu gerakan untuk menjadikan gerak kerja yang dilaksanakan menjadi mantap dan bergerak seiring matlamat  yang dibuat. Apabila matlamat menjadi fokus utama dalam sesuatu kerja, ia akan membuahkan satu hasil yang baik dan cemerlang. Dalam Harakah Islamiyah, matlamat dicapai seiring dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai ahli harakah, kita perlulah memainkan peranan dan bersedia untuk memenuhi matlamat yang dituntut oleh jemaah.

 

Imam Hasan al-Banna telah mengariskan lima matlamat dalam Ikhwanul Muslimin iaitu:

 

1.             Membentuk peribadi muslim

·             Peribadi mulia mengambarkan keimanan seseorang individu. Individu muslim perlu mempunyai akidah yang lengkap, berilmu dan akhlak yang terpuji. Individu ini juga perlu menjaga ibadatnya seharian, kesihatan diri dan pandai menguruskan masa. Selain itu, individu itu juga perlu mempunyai kesedaran untuk melakukan amal makruf nahi mungkar.

·             Individu yang dididik dengan tarbiyah perlu ada kesedaran untuk mengembalikan hukum-hukum dan syariat Islam dalam masyarakat, berusaha untuk menjadi seorang dai’e dalam masyarakat dan sentiasa mendekati diri kepada Allah s.w.t.

 

2.         Membentuk keluarga muslim

·             Rumahtangga muslim adalah keluarga yang melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam pergaulan seharian. Setiap ahli keluarga mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam keluarga.

·               Ayah sebagai ketua keluarga hendaklah melaksanakan hukum-hukum yang telah digariskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam menguruskan hal keluarganya. Sebagai ibu pula, menjadi qudwah yang baik kepada anak-anak perempuannya dalam membentuk muslimah solehah. 

 

3.         Membentuk masyarakat muslim

·             Masyarakat yang ingin dibentuk adalah masyarakat yang melaksanakan syariat dan hukum-hukum Islam dalam kehidupan seharian. Masyarakat muslim juga mempunyai kesedaran tentang amar makruf dan nahi mungkar. Selain itu, masyarakat yang dibentuk adalah masyarakat yang hidup aman dan damai, saling menghormati, bersatu padu dan sentiasa tolong menolong.

·             Masyarakat muslim sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka juga sentiasa takut kepada Allah dan mencintai Rasul-Nya.

 

4.         Membentuk daulah Islamiyah.

·             Negara Islamiyah adalah negara yang mempunyai rakyat yang melaksanakan tuntutan agama dan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Negara Islamiyah juga mempunyai perlembagaan dan undang-undang Islam serta mempunyai tentera yang berjuang di jalan Allah serta membela nasib umat Islam di negara yang ditindas oleh orang kafir.

·             Daulah Islamiyah akan tegak atas dasar Islam  yang diketuai oleh seorag khilafah dan bebas dari cengkaman kuasa-kuasa asing. Daulah Islamiyah ini akan menaungi semua negara Islam yang lain serta menyatukan umat Islam di bawah satu panji Islam. Matlamat ini juga adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam di muka bumi ini.

 

5.     Membentuk khilafah Islamiyah

·             Imam Hasan Al-Banna menerangkan ciri-ciri khilafah Islamiyah ialah mempunyai rasa bertanggungjawab dan kasih kepada rakyatnya, berlaku adil sesama manusia, tidak menyalahgunakan harta umum dan berjimat serta menggunakan harta umum ke jalan yang betul. Di antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang Islam, mengembangkan ilmu pengetahuan, memelihara maslahat umum, membangunkan hasil dan kekayaan negara dan menyebarkan dakwah di seluruh pelusuk negara.

 

 

Oleh itu sebagai ahli harakah, kita perlu tahu dan faham matlamat Harakah Islamiyah yang dibawa oleh Imam Hasan Al-Banna ini. Inilah matlamat khusus dalam Harakah Islamiyah bagi menegakkan semula syiar Islam di muka bumi ini.

 

ALANG,

KUALA IBAI

 

                  

 

 

 

 


Posted at 04:33 pm by lauzaie
Make a comment  

DASAR-DASAR UMUM

 

DASAR-DASAR UMUM

Rujukan : Kitab Prinsip-prinsip Asas Amal Islami

Oleh : Adik

 

Adakah Dakwah  Kita Umum atau Khusus?

 

Seperti yang kita sedia maklum, Jemaah berkeyakinan bahawa kewajipan yang mesti dilaksanakan merupakan satu kewajipan Syar’i. Mereka yang mengabaikannya adalah berdosa. Bagi mereka mereka yang menentang dan mempermainkannya pula dikira murtad dan kafir. Salah satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh Jemaah ialah melaksanakan dakwah. Bagi sesetengah anggota Jemaah, mereka tidak tahu apakah dakwah yang perlu mereka lakukan bersifat umum ataupun khusus. Sesungguhnya Jemaah berpendapat bahawa dakwah yang perlu dilaksanakan setiap ahli adalah lebih bersifat umum. Umum di sini bermaksud untuk seluruh manusia tidak kira orang Islam mahupun orang bukan Islam. Dakwah umum ini juga tidak hanya khusus kepada golongan –golongan tertentu di dalam masyarakat.

 

            Ramai di kalangan kita tidak berani dan tidak mampu melaksanakan dakwah umum kerana mereka berasa diri mereka kurang ilmu menyebabkan mereka berasa rendah diri. Kita harus mengubah persepsi ini kerana sesiapa sahaja boleh melakukan dakwah dan sesiapa sahaja boleh menganggotai Jemaah. Jemaah tetap menerima sesetengah orang yang melakukan maksiat yang keji selagi perasaan takutkan Allah masih ada dalam diri mereka dan menghormati serta mematuhi peraturan Jemaah.

 

 

Pendirian Kita Terhadap Orang-orang Islam

 

Dalam kondisi kita di Malaysia ini, kita hidup dalam pelbagai kaum dan bangsa. Ada di antara mereka beragama Islam dan bukan beragama Islam.  Oleh itu, sebagai anggota Jemaah kita hendaklah melaksanakan beberapa kewajipan antaranya ialah :

 

            1) Memberikan keamanan kepada mereka selagi mereka tidak menimbulkan kekacauan kepada kita

               > Tugas kita sebagai anggota Jemaah tidak hanya fokus kepada orang Islam sahaja tetapi kita juga perlu bertanggungjawab terhadap golongan bukan Islam. Dengan adanya sikap seperti ini kita akan terus dipandang mulia oleh mereka dan keamanan di negara ini akan tercapai.

 

            2) Mencurahkan kebaikan kepada mereka selagi mereka tidak menunjukkan permusuhan terhadap kita.

               > Kita perlu yakin bahawa di antara kita dan mereka wujud satu pertalian dan ikatan dakwah. Oleh itu, kita berhak menolong mereka apabila mereka dalam kesusahan.

 

            3) Berkewajipan untuk mengajak mereka kepada apa yang kita dokongi kerana ia merupakan satu  kebaikan bagi seluruh manusia.

              > Dalam perkara ini, kita hendaklah sentiasa berdakwah kepada mereka tetapi dakwah yang disampaikan mestilah dakwah umum dan bersesuiaan dengan kondisi mereka. Kita juga hendaklah bersikap kreatif dan kritis dalam melaksanakan method-method dakwah kepada mereka.

 

            4) Menempuh jalan dakwah ini mengikut batasan-batasan ketentuan agama melalui segala jalan dan wasilahnya.

             > Segala peraturan yang telah Allah gariskan wajib diikuti agar kita tidak terpesong dalam menyampaikan dakwah.

 

 

 

ADIK,

KUALA BERANG.

 

 


Posted at 04:12 pm by lauzaie
 




Nov 15, 2006
Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah

Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah

( Ulasan Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah)

 

Tokoh penggerak Islam Lubnan, Ustaz Fathi Yakan banyak mengkaji, mengupas tentang permasalahan ummat dan gerakan islam dalam buku-bukunya seperti golongan yang tercicir, permasalahan ini diselitkan pula dengan alternatif penyelesaian dalam karyanya Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan pendakwah. Buku ini mengupas rintangan yang menghalang seorang da'ie untuk terus istiqamah dlm perjuangannya,dalam dakwahnya dan dalam gerak kerja islam.Hakikat ini memang banyak berlaku dalam senario dunia hari ini.Penulis menyajikan cara-cara mengatasi barah-barah yang kian menular di lubuk-lubuk hati dan diri pendakwah masa kini, menyediakan bahtera yang dapat menyelamatkan kita daripada terus hanyut di lautan bergelora tanpa pautan dan hilang arah tujuan untuk kembali ke dataran yang selamat.

 

Jika di selusuri 5 rintangan perjuangan dalam kehidupan pendakwah, mukmin yang dengki, munafiq yang benci,kafir yg memerangi, syaitan yg menghasut dan nafsu yg menguasai,dilihat  dalam aspek kondisi hari ini dapat disimpulkan halangan-halangan yang memblok kebangkitan pendakwah adalah kebanyakannya berpunca daripada masalah dalaman sendiri di samping tidak menafikan halangan golongan munafiq dan kafir yang bertungkus lumus menyusun strategi untuk terus menghapuskan Islam.

 

Kondisi kita di malaysia tidak banyak berhadapan dengan konspirasi musuh kafir seperti pernah dihadapi oleh tokoh-tokoh gerakan islam, Assyahid Hassan Al-banna yang ditembak syahid,1949 semata-mata untuk membangkitkan kesedaran islam,ulama˘ ulung, Abdul Qadir ˇAudah diseret ke tali gantung,tokoh pemikir islam,Syed Qutb dihukum bunuh dengan fitnah ke atas Syed Qutb dan banyak lagi yang cukup membuktikan zalimnya tentangan kafir ke atas pejuang-pejuang Islam.

 

Sirah membuktikan kisah habil dan qabil,permusuhan dan pertelingkahan timbul akibat wujudnya buah-buah hasad,iri hati,busuk hati walaupun dalam satu keluarga sendiri.Tidak mustahil, mandomnya sebuah jemaah,runtuhnya sebuah kesatuan adalah adanya golongan api dalam sekam dalam jemaah itu sendiri.Golongan mu˘min yang dengki cukup membahayakan, method dan strategi dibocorkan sesuka hati seperti kisah Wan Norhayati yang telah membawa impak yang besar kepada jemaah di seluruh kampus. Akibatnya kita semakin ditekan oleh golongan munafiq yang sentiasa mencari peluang mencari kesalahan,bukti dan cara untuk melenyapkan kita.Apatah lagi kafir dengan penuh zalimnya memerangi islam di negara-negara islam seluruh dunia.

 

Rintangan yang maha hebat melanda seorang da'ie adalah rintangan nafsunya sendiri.Apabila nafsu menguasai akal dan hati, segala kefahaman lenyap dan nafsu menjadi juara dalam pertandingan melahirkan golongan yang futur dan muttasaqit ini.Nafsu apabila disepadukan dengan bisikan syaitan,ikatan konkrit ini cukup untuk menumbangkan peserta lain dalam pertandingan ini.Jelas di sini, nafsu dan syaitan adalah initial, rencah utama melahirkan golongan mukmin yang hasad dan munafiq yang benci kepada kita rentetan dari golongan yang muttasaqit dan futur.

 

            Da'ie perlu meletakkan kefahaman islam dan pejuangan di tempat teratas bukan dengan merajai nafsu.Da'ie perlu memiliki hati yang suci dan sihat,akal yang bersih dan jelas dan akhlak yang lurus dengan kesedaran. Check and balance kembali hati kita adakah hati kita masih hidup atau sudah mati.Hati yang masih hidup, ia masih boleh bergetar apabila terdengar alunan Kalamullah, zikrullah.Tiada ertinya jika da'ie tidak ˇabid dan berjiwa rabbani walaupun ilmu setinggi gunung.Wallahua'lam.

  

MAKLANG,

Sabak Bernam.


Posted at 06:48 pm by lauzaie
Comment (1)  




Nov 12, 2006
SYURA

                                                SYURA

Syura dari sudut bahasa bermaksud permesyuaratan.
Dari sudut syara' ialah satu keputusan yang dibuat oleh ahli halli wal 'aqdi
Sebagai asas dalam penyelesaian masalah mengikut kepentingan orang ramai.

Allah berfirman :
"Dan urusan mereka diputuskan melalui syura sesama mereka."
  (as-syura : 38 )

Antara sebab mengapa syura wajib dipatuhi adalah :

1 )  Sesuai dengan keputusan para Fuqaha' yang mengi'tiraf ahli halli wal 'aqdi.
      Dimana mereka boleh memilih pemerintah, mengawasi perjalanannya dan berhak untuk melucutkan jawatannya.

2 )  Dalam perang Uhud Rasulullah telah membuktikan bahawa keputusan syura wajib dipatuhi dan pendapat majoriti akan dipertimbangkan.

3 )   Para penguasa dulu zalim dan memerintah dengan cara diktator.
      -Mereka amat anti dengan gerakan Islam dan apa-apa yang berkaitan dengan Islam.
       -Ini adalah kerana mereka tidak tunduk keada keputusan syura dan tidak
 menghormati majlis syura.      
                                        

4 )  Pendapat dua orang atau lebih adalah lebih diterima. Jika sesuatu perkara diputuskan, kebenaran dan kebatilannya adalah bergantung kepada ilmu mereka. Pendapat individu adalah kurang diyakini, lebih berlandaskan nafsu dan mempunyai unsur-unsur jahiliyah. Oleh itu, Islam menggalakkan memutuskan sesuatu perkara secara beramai-ramai, akan tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa keputusan ini juga boleh mempunyai kesilapan.

5 )  Dengan adanya suara majoriti, tentulah keputusan ini akan diyakini. Pemutus keputusan ini akan bersedia menerima segala risiko dan ini melatih keyakinan dan keberanian diri mereka. Hasilnya akan lahir tentera-tentera Islam yang beranibersuara untuk menyatakan kebenaran dan menentang kebatilan secara terang-terangan.

6 ) Tidak dinafikan keputusan yang dibuat akan menimbulkan sedikit pertikaian, akan. Tetapi hendaklah dipastikan ia tidak berlarutan. Jika meraka tunduk dan akur dengan. Keputusan majlis syura, mereka telah melaksanakan tuntutan di dalam Al-Quran.


    Oleh yang demikian, orang muslim hendaklah thiqah terhadap segala keputusan majlis syura. Syura adalah satu identiti Islam yang tersembunyi di dalamnya beribu kelebihan. Adakalanya sesuatu yang tersembunyi disebalik keputusan mereka yang kita tidak nampak. Hanya mereka yang betul-betul memahami sahaja boleh merasainya.

ATEH,
Gombak, Selangor
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

Posted at 07:55 pm by lauzaie
Make a comment  

Menyelami Perbahasan Tasyri' Al-Wala' wal-Baro'

Menyelami Perbahasan Tasyri' Al-Wala' wal-Baro'

Oleh : Along

 

PENGENALAN

 

            Ketika ini, kelihatan terlalu banyak seruan untuk mengikat persaudaraan, persamaan, tuntutan berpesatuan daripada pelbagai organisasi, perbadanan atau pertubuhan di panggung dunia. Meskipun tuntutan sebegini timbul, namun masing-masing masih ingin mempertahankan fahaman, ideologi mahupun norma hidup mereka kerana bagi mereka agama tiada perkaitan dengan perkara duniawi. Demi mencapai matlamat penyatuan inilah, timbulnya kepelbagaian istilah penyatuan contohnya "Persaudaraan antara agama", "Internasional", "Kemanusiaan" dan lain-lain lagi. Bermulanya propaganda penyatuan ini menyebabkan munculnya teori-teori yang merobek Aqidah ummah Islam seterusnya dipraktikalkan oleh masyarakat Islam yang terpengaruh dengan propaganda penyatuan masyarakat ini. Demi mencapai Syowah Islamiah(kesedaran Islam), penulis cuba untuk berbicara lanjut mengenai al-Wala' wal-Baro'(ketaatan dan permusuhan/pemutusan) yang menjadi punca kepincangan Aqidah Islamiah. Ahli Harakah Islamiah memainkan peranan penting dalam memulihkan kebobrokan Akhlak dan Aqidah yang melanda ummah ketika ini. Dalam memahami al-Wala' wal-Baro', ahli Harakah Islamiah seharusnya mempunyai Aqidah dan Fikrah yang murni demi membumikan ilmu ini dalam diri.

 

PENDEFINISIAN

 

            Aqidah manusia begitu berkait rapat dengan al-Wala'(ketaatan) dan al-'ada'(permusuhan). Seharusnya, sebagai suatu ummah yang bersatu, umat Islam wajib mempertahankan batu-bata sebuah bangunan yang kukuh terbina sejak permulaan kelahiran Nabi Adam. Inilah yang dinamakan Jama'atul Muslimin. Al-Wala' memberikan pengetian meluas, antara lainnya disebut oleh Dr. Abdullah Ibrahim Ath-Thariqi dalam karangannya ialah menjadikan sesuatu sebagai wali di samping memberikan rasa cinta dan pertolongan kepada sesuatu. Al-'ada' pula didefinisikan sebagai mengadakan permusuhan dan kebencian serta bersikap menjauhi dan menyatakan tentangan terhadap sesuatu. Dalam membicarakan bab ini, Syaikh Abdul Latif ibnu Abdurrahman Alu Syaikh r.hm pernah menyatakan bahawa Al-Wala' mempunyai pendorong yang cukup kuat iaitu rasa cinta manakala Al-'ada' pula didorongi dengan rasa benci. Dorongan cinta dan benci ini mampu menimbulkan pelbagai sikap, ragam dan perbuatan manusia yang menggambarkan hakikat Al-Wala' dan Al-'ada'.

 

PANDANGAN SYARIAT ISLAM

 

            Syariat Islam amat bertegas dalam membahaskan Al-Wala' dan Al-'ada'. Al-Quran sendiri yang menjadi rujukan utama Jama'atul Muslimin membahaskan dengan panjang lebar berkenaan masalah ini, terutamanya di dalam surah-surah Madaniyah yang turun setelah penghijrahan Rasulullah. Peristiwa kejayaan Islam untuk membina sebuah pemerintahan sendiri di Madinah(negara Islam pertama ditubuhkan) menunjukkan berlakunya perpisahan kepimpinan Islam(wali Ar-Rahman) dan kepimpinan kafir(wali syaitan). Setelah itu, umat pada zaman Rasulullah terpecah kepada bebrapa golongan:

 

Golongan pertama

            Kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah yang berada di bawah naungan bendera Rasulullah. Allah telah menumpahkan rasa wala'(saling melindungi) kepada kelompok ini secara menyeluruh(kamil) di antara mereka.

 

Golongan kedua

            Kaum Muslimin yang tidak bersama dalam hijrah Nabi. Golongan ini masih layak mendapat perlindungan dan pertolongan dari Jama'atul Muslimin disebabkan masih ada persamaan antara Jama'atul Muslimin dan mereka iaitu, Iman. Namun, Jama'atul Muslimin tidak dibolehkan memberikan pertolongan kepada golongan ini apabila mereka diperangi oleh orang kafir yang terikat dengan perjanjian, melainkan orang kafir  tersebut yang menyerang terlebih dahulu.

 

Golongan ketiga

            Orang munafik yang berada di Madinah dan sekitarnya. Peristiwa bantahan yang dikemukakan oleh seorang munafik terhadap pembahagian ghonimah yang dilakukan oleh Rasulullah menunjukkan bahawa golongan munafik berhak mendapatkan wala' dari umat Islam sesuai dengan kebaikan yang nampak. Sebaliknya, mereka akan mendapatkan baro'(pemutusan hubungan) sesuai dengan kejahatan yang nampak. Namun, Jama'atul Muslimin wajib untuk berjihad menentang dan menyempitkan gerak kerja golongan yang secara zahirnya memperlihatkan kemurtadan dan sikap skeptikal terhadap agama Islam.

 

Golongan keempat

            Golongan Yahudi yang menetap di Madinah dan Nasrani yang menetap sekitar Najran, Habshah dan Sham. Sikap dan perbuatan golongan ini terhadap umat Islam disebutkan secara panjang lebar di dalam mushaf Al-Quran, berkenaan ideologi dan fahaman mereka yang sesat, kedengkian mereka terhadap umat Islam serta akhlak dan moral mereka yang punah, rosak dalam arus Jahiliyah. Allah melarang sama sekali umat Islam untuk memberi wala' terhadap golongan ini dalam memimpin dan mentadbir masyarakat sepertimana sekitar penjelasan Surah Al-Maidah, ayat 51.

 

Golongan kelima

            Golongan musyrik Arab dan seluruh orang kafir dengan dikecualikan Ahli Kitab, sama ada mereka adalah keturunan Arab atau tidak, sama ada mereka musyrik atau Atheis. Islam membekukan hubungan antara umat Islam dengan golongan ini dan bagi mereka hanya dua pilihan yang ditawarkan oleh syariat Islam, sama ada menganut Islam atau berperang. Tiada lagi wujud sentimen kasih sayang , sokongan mahupun pertolongan bagi mereka dari kalangan Jama'atul Muslimin. Hatta, jumhur Ulama' bersikap keras dengan menolak jizyah dari mereka.

 

            Huraian di atas jelas menunjukkan norma dan corak kehidupan manusia yang sezaman dengan kehidupan Rasullullah dan sikap tegas dan keras umat Islam terhadap mereka. Suatu i'tiqad yang seharusnya ditanam dan dibajai dalam diri setiap umat Islam iaitu walayah(cinta, sokongan dan pertolongan) hanya menjadi milik mutlak Allah Taala dan adanya tasyri'(undang-undang) wala' terhadap orang mukmin dan 'ada' terhadap orang kafir.

 

            Pada penulisan akan datang, penulis akan membicarakan beberapa kaedah penting dalam memahami Al-Wala' dan Al-'ada', hakikat dan batasan baro' terhadap bukan Muslim serta bentuk-bentuk wala' dan hukumnya menurut syariat Islam.

 

 

ALONG,

Sepang, Selangor.

 

 

 


Posted at 07:21 pm by lauzaie
Make a comment  

DI SINI KITA BERMULA

DI SINI KITA BERMULA

Oleh : Andak

 

Suatu sorotan kegemilangan Islam

 

Zaman itu telah berlalu, peristiwa yang sepatutnya memberikan kesan mendalam dalam hati umat islam. Namun mungkin ada antara kita yang tidak pernah merasai pun kesan kewujudannya, lantaran realiti dunia yang berubah menghanyutkan bersama jatidiri muslim seorang insan.

 

Zaman ketika mana Islam berada dipuncak telah lama meninggalkan kita. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1924 merupakan satu pelengkap kepada kejatuhan kekuasaan Islam yang sebenarnya telah lama retak, hanya menanti masa untuk tumbang menyembah bumi.

          

Tampuk kekuasaan terhadap umat manusia keseluruhannya kemudiannya diambil alih Barat, dengan membawa nilai kebendaan, materialistik yang beransur-ansur menyedut roh beragama dalam diri manusia. Dunia sekarang tiada lagi sempadan yang menjadi pemisah antara negara dan bangsa. Itulah globalisasi, yang sebenarnya merupakan satu kesan dan kejayaan hegemoni Barat.

          

Tapi samada kita sedar ataupun tidak, Barat sudah tiada apa lagi yang mampu disumbangkan, tiada lagi sumbangan nilai yang melayakkan mereka menjadi pemimpin umat manusia. Umat manusia dahagakan nilai yang lengkap, bukan sekadar nilai kebendaan tapi juga nilai-nilai yang mampu memimpin dan mengawal kemajuan ciptaan sains dan teknologi yang kononnya dipelopori Barat. Dan hanya Islamlah yang merangkumi kesemua nilai-nilai tersebut.

 

Dalam berhadapan dengan situasi ini, timbul persoalan bila dan dimanakah perlu kita mulakan kebangkitan ini? Apa yang pasti umat Islam sekarang bukanlah 'umat Islam' yang sebenar kerana umat Islam dalam erti kata yang sebenar bukanlah mereka yang hidup di bumi yang majoritinya muslim, bukan mereka yang mewarisi Islam dari nenek moyang mereka tetapi umat Islam yang sebenar adalah mereka yang mengamalkan ajaran Islam secara syumul dalam kehidupan mereka. Untuk umat Islam kembali memimpin umat Islam perlu bangkit semula dari keadaan ini.

 

Asas generasi emas Islam sepanjang zaman

         

Jika kita melihat kepada Generasi Emas Islam, yang tidak lain tidak bukan generasi para sahabat yang lahir dari didikan secara langsung dari baginda Rasulullah, kita pasti akan menjumpai satu perkara yang akan menjadi asas kepada kebangkitan Islam. Jika kita merenung sejenak kenapa tidak lahir lagi generasi sehebat generasi pertama Islam ini, mungkinkah kerana Rasulullah telah meninggalkan kita, bermakna tiada lagi individu yang dapat membimbing kita? Jika itulah sebabnya mana mungkin Allah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, mana mungkin dakwah ini meliputi seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman.

          

Sudah pasti itu bukan sebabnya, sebab yang sebenarnya adalah kerana sumber panduan hidup mereka adalah Al-Quran, semata-mata Al-Quran. Segala apa yang dilakukan hanyalah berpandukan Al-Quran. Tapi apa yang berlaku selepas itu, sumber panduan hidup manusia bercampur baur. Falsafah Yunani, cerita-cerita israiliat Yahudi, dan saki-baki tamadun lampau yang sukar dikikis, semuanya bercampur baur dengan Al-Quran.

          

Cara penerimaan ilmu dan pengajaran mereka juga jauh berbeza dari generasi selepas mereka. Mereka belajar bukan untuk mendapatkan ilmu semata-mata, bukan untuk mendapatkan hiburan, bukan untuk mendengar cerita-cerita di dalam Al-Quran tetapi mereka belajar semata-mata untuk bertindak. Mereka belajar untuk mengetahui apa yang mereka perlu buat, apa tuntutan Al-Quran terhadap mereka dari segi akhlak dan hubungan dengan Allah. Berbeza sekali dengan generasi selepas mereka yang kebanyakannya mencari ilmu sekadar untuk menambahkan 'koleksi' ilmu mereka, untuk ditunjukkan kepada masyarakat  supaya mereka dikagumi.

          

Pada zaman itu, zaman gemilang Islam, zaman Rasulullah dan sahabat baginda, apabila sahabat-sahabat mula memeluk Islam, menggapai cahaya kebenaran Islam dan meninggalkan kegelapan jahiliah, mereka benar-benar berubah, mereka bagaikan manusia berbeza. Jahiliah ditinggalkan bukan sekadar pada zahirnya sahaja, bukan hanya cara islam menjadi cara hidupnya, bahkan pada hati dan perasaan mereka juga telah terbina tembok pemisah yang kukuh antara zaman jahiliah dengan zaman baru mereka, zaman Islam.

         

Jika kita menganggap zaman jahiliah sudah lama berlalu, kita sememangnya telah tersilap, kerana jahiliah di zaman ini lebih gelap lagi hingga hampir setiap sesuatu di sekeliling kita mempunyai unsur jahiliah.

         

Mengambil ibrah atau pengajaran dari perjalanan dakwah baginda Nabi Muhammad, perjalanan yang menghasilkan generasi terbaik Islam, langkah pertama yang perlu diambil untuk mencetuskan kebangkitan semula Islam adalah dengan menghapuskan jahiliah, mencabut terus akar jahiliah yang terpacak kukuh selama ini.

 

Di sinilah kita perlu bermula...tanpa berlengah lagi!

 

Andak

Petaling Jaya

 


Posted at 06:56 pm by lauzaie
Make a comment  




Next Page



lauzaie

CAHAYA LAUZAIE
kami mengalu-alukan BAHAN TARBIAH dari anda
Sila hubungi kami
melalui :
cahaya_lauzaie@yahoo.com
(^_^)
Ciri Dakwah Yang Realiti : >
  • Rabbaniyyah
  • Syumul dan lengkap
  • Pemberian suatu pembaharuan
  • Penyelarasan antara kebendaan/materialisme dan kerohanian
  • Mudah, keterbukaan dan logik (pada perkara tertentu)
  • Keadilan Islam
  • Berperinsip pada perkara utama agama



  •    





    << December 2009 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04 05
    06 07 08 09 10 11 12
    13 14 15 16 17 18 19
    20 21 22 23 24 25 26
    27 28 29 30 31




    View My Stats






    View My Stats





    BLOG INI MEMPUNYAI BAHAN-BAHAN BACAAN TARBIAH, BEKALAN DAKWAH DAN BAHAN PRAKTIKAL AMAL ISLAMI SECARA UMUM DAN MENCAPAH. DIHARAP KEHADIRAN BLOG INI MENJADI PERMATA DI CELAHAN BAHAN-BAHAN PICISAN INTERNET/WEB YANG SERING DIKUNJUNGI OLEH REMAJA MUTAKHIR INI. KAMI MENGHARAPKAN KEPADA PENGUNJUNG MENELITI JUGA BAHAN-BAHAN YANG TERDAHULU DALAM BLOG INI MELALUI BAHAGIAN 'NEXT' DIBAWAH.
    .:.:.:ALLAH BERSAMA KITA.:.:.:.





    Contact Me

    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




    rss feed